Ahad, 22 Mac 2009

Kaya tipu artis Mr.S

. Ahad, 22 Mac 2009
0 ulasan


Dia pernah bergelar pengurus artis, memiliki syarikat berkaitan industri hiburan dan menubuhkan beberapa kumpulan nasyid sejak 2004, tetapi rupa-rupanya dia hanya mahu memanfaatkan industri itu untuk melakukan penipuan. Modus operandinya mudah — menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Jika ada kesempatan, dia turut menipu individu yang tidak terbabit dengan industri hiburan, asalkan mendapat wang.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees dan Nice serta kumpulan Infinatez. Itu kelicikan seorang pemuda berperwatakan lemah lembut dan baik dikenali sebagai Mr S berusia 30-an yang sehingga hari ini dikatakan mengaut wang hasil temberang lebih RM1 juta.

Dengan perwatakan berkenaan, kebanyakan mangsa tidak mengesyaki pemuda itu ‘penipu besar’ dan lebih menakutkan, dia didakwa mengamalkan ilmu hitam.

Tembelang bekas pengurus artis itu terbongkar selepas satu demi satu mangsa penipuannya tampil membuat pengakuan kepada wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN. Berikut luahan mangsa.

PENYANYI DAN PELAKON, WAHEEDA

“MUKANYA manis, pertuturannya lembut, tetapi di sebalik semua itu saya mengenalinya sebagai penipu kerana saya antara mangsanya,” kata penyanyi berusia 30 tahun ini.

Menurut Waheeda, sebelum temberang Mr S terdedah, hubungan mereka akrab seperti adik-beradik.

Katanya, dia turut sama menjaga anggota kumpulan nasyid Devotees yang di bawah pengurusan kaki putar belit itu.

“Saya mengenalinya ketika membuat persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum hubungan kami rapat atas dasar profesional dan kerja.

“Dalam masa sama, Mr S menjadi pengurus anggota Devotees. Kami seperti satu keluarga besar dan jika dilihat pada awalnya, lelaki itu menjaga kami seperti anak dan adiknya,” katanya.

Bagaimanapun, tembelang Mr S terdedah ketika pura-pura membantu Waheeda mencari rumah selepas kediamannya dipecah masuk tahun lalu.

Menurutnya, Mr S menyuruh dia membayar RM3,000 sebagai deposit untuk menyewa kediaman lain dan tidak dibenarkan masuk sementara menunggu pengubahsuaian.

“Selepas lama menunggu, saya syak ada yang tidak kena dan terus menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan saya membatalkan hasrat menyewa di sana. Saya meminta semula wang saya dan akan ambil tindakan jika dia gagal memulangkannya,” katanya.

Waheeda berkata, Mr S mengamuk dengan tindakannya tetapi dia mengembalikan semula wang RM3,000 itu.

“Nasihat saya pada artis lain, jika dihampiri lelaki menyerupai keterangan berkaitan Mr S, jangan layan walaupun dia menawarkan untuk membuat album, rakan kongsi perniagaan dan pelbagai lagi.

“Ramai menjadi mangsanya, termasuk ahli perniagaan. Saya bersyukur kerana walaupun diperdaya, tetapi berjaya mendapatkan kembali wang itu,” katanya.

KUMPULAN NASYID DEVOTEES

ABDUL Halim Ahmad , 23, yang menjadi jurucakap Devotees berkata, Mr S bertanggungjawab menubuhkan kumpulan nasyid itu.

Namun, katanya, sepanjang di bawah pengurusan Mr S, mereka umpama ‘katak di bawah tempurung’ dan diperas habis-habisan.

“Sepanjang lebih setahun di bawah Mr S, kami melalui tempoh sukar. Dia ‘kebas’ kebanyakan duit ‘show’ dan royalti kami yang mencecah ribuan ringgit.

“Apabila kami meminta hak kami pelbagai alasan diberi, antaranya dapat cek tendang dan belum dapat bayaran. Beberapa kali kami kesan penipuannya, antaranya kami kesan surat mengatakan pembayaran dimasukkan ke akaunnya, tetapi dia beritahu belum dapat bayaran,” katanya.

Menurut Abdul Halim, dua komputer riba anggota Devotees bernilai kira-kira RM5,000 turut dikebas.

“Kami turut menjadi sasaran pihak yang dia berhutang. Antaranya, kami pernah menempah baju di sebuah butik, tetapi wang yang kami beri dikebas, menyebabkan pemilik butik itu meminta bayaran daripada kami,” katanya.

Selain Abdul Halim, Devotees dianggotai Adi Akmal Sehrom, Ahmad Shauqi Abu Kasim dan Mohammad Mohd Tawil.

KUMPULAN NASYID NICE

MEWAKILI tiga lagi anggota Nice, Mohd Izwan, 21, berkata pengalaman ditipu dan dipermainkan Mr S sangat banyak.

“Sebelum rahsia terbongkar, Mr S mengaku anak orang kaya. Kami selalu dipaksa ikut dia membeli-belah. Kami lihat dalam tempoh sehari, berkali-kali dia mengeluarkan wang di mesin ATM dan kehidupannya mewah,” katanya.

Mohd Izwan berkata, Mr S banyak membuat janji palsu, antaranya album NICE ada pembeli tetap untuk 50,000 unit, justeru dia membayangkan Nice akan memperoleh pendapatan lumayan, namun janji itu dusta semata-mata.

“Satu lagi penipuan yang dibuat, dia beritahu album Nice siap sepenuhnya pada Jun 2007, tapi dia tunda dan banyak kali beri tarikh palsu untuk pelancaran.

“Apabila disiasat, rupa-rupanya perbincangan belum dibuat dengan syarikat pengedar album. Namun pada Februari 2008, kami berjaya juga lancarkan album, itupun selepas dia disingkir daripada syarikat kami bernaung,” katanya.

Menurut Mohd Izwan, selepas Mr S disingkir dan menghilangkan diri, Nice mampu ‘bernafas’ kembali dan berusaha bangkit semula.

“Kami dalam proses pembungkusan semula album dengan penambahan tiga lagu baru. Kami juga baru selesai fotografi bersama Epilogue Creation di sekitar Bandar Melaka dengan tajaan penuh syarikat itu.

“Kami turut mendapat tajaan pakaian selama setahun daripada Smartmaster Suit dan The Grass Jeans,” katanya.

Selain Mohd Izwan, Nice dianggotai Wan Mohd Taqiuddin, 23, Muhammad Afiq Hamdan, 21, dan Muhammad Safwan, 19.

KUMPULAN INFINATEZ

ANGGOTA Infinatez, Mohd Andi Ariffin Merican atau Andy, 26, mengakui tersalah pilih syarikat untuk bernaung kerana tidak tahu latar belakang Mr S.

Andy berkata, mereka terpedaya dengan janji manis Mr S sehingga tertarik bernaung di bawah Mr S yang menubuhkan syarikat Euphonious Entertainment (M) Sdn Bhd.

“Selepas beberapa bulan bernaung di bawah Mr S, satu demi satu rahsianya terbongkar. Selepas menemui beberapa mangsanya, baru kami tahu Mr S penipu.

“Pernah satu ketika, ketika mahu bersemuka dengannya, dia lari menerusi bumbung rumah dan ketika itu kami dapat banyak bahan bukti dia penipu. Namun, bukti itu hilang selepas dia suruh beberapa orang mencurinya semula,” katanya.

Menurut Andy, Mr S menggunakan nama Infinatez untuk memperdaya beberapa individu.

“Mr S menggunakan nama kumpulan kami dengan taktik kononnya dia ada beberapa projek besar membabitkan Infinatez yang pasti memberi pulangan berganda.

“Akibatnya ada yang tertipu, antaranya rakan ibu saya yang memberi Mr S RM100,000 untuk projek palsu dijanjikannya,” katanya.

Andy berkata, berdasarkan maklumat diterima, Mr S aktif melakukan penipuan dan perkara paling dibimbangkan adalah Mr S menggunakan nama Infinatez untuk menipu.

Justeru, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya meletakkan amaran mengenai Mr S di forum laman web Infinatez di alamat www.infinatez.com.

PEMILIK NAZZ MUSIC ENTERTAINMENT, NAZRI ABDUL RAHMAN, 37

“PENGALAMAN mengenali penipu ini akan dijadikan pengajaran yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup saya,” kata Nazri.

Menurutnya, Mr S banyak menipunya sehingga dia menanggung beban tekanan dan hutang.

“Saya setuju melabur pada asalnya untuk projek pembelian tanah di Pulau Tioman bagi pembinaan chalet, tetapi tanah entah ke mana, dia datang dengan projek baru. Dia maklumkan kepada saya mengenai rakan kongsi di DME Production (Kumpulan Devotees) sebelum menubuhkan Nazz Music Entertainment (Nazz Music).

“Sebagai rakan kongsi, modal sepatutnya dikeluarkan kedua-dua pihak. Saya keluarkan modal awal RM100,000 dan untuk modal daripada dia, dia beritahu akan beri selepas mendapat royalti kumpulan nasyid Devotees RM150,000, tetapi apabila disiasat, royalti itu ‘dikebasnya’.”

Nazri berkata, dia mengeluarkan modal sejak Jun 2006 tetapi pejabat ‘tak nampak bayang’ hinggalah pada Mac 2007, pengubahsuaian mula dibuat dan pejabat mula beroperasi April 2007.

“Saya memberi RM70,000 untuk pendahuluan pembelian rumah bagi kegunaan artis dan kakitangan syarikat, tetapi duit tidak tahu ke mana. Apabila rahsia terbongkar, rupa-rupanya rumah diduduki hanya rumah sewa, malah ia diubahsuai sehingga memberi keuntungan kepada tuan rumah.

“Sehingga September 2007, saya mengeluarkan kos lebih RM400,000 dan menuntut dia pula keluarkan modal. Bagaimanapun dia maklumkan pihak Nazz Music akan dapat pendahuluan royalti daripada EMI Music sebanyak RM150,000, tetapi rupa-rupanya dia hanya buat cerita palsu,” katanya.

Menurut Nazri, bagaikan mahu menghabiskan semua wangnya, dia memberi harapan baru kononnya mendapat kontrak pasaran dan promosi album Nice di Indonesia menerusi perjanjian dengan syarikat penerbitan terkenal, MD Entertainment.

Bagaimanapun, katanya, Mr S memberitahu perlu mengeluarkan modal sehingga RM300,000.

“Mr S meminta RM300,000 sebagai sebahagian daripada kos percetakan cakera padat yang akan dihantar ke Indonesia. Mr S memberitahu dalam tempoh 45 hari selepas kontrak ditandatangani, pihak MD Entertainment akan membayar 50 peratus daripada jumlah RM7.5 juta sebagai wang pendahuluan royalti pengedaran album di Indonesia.

“Kerana pulangan dijanjikan lumayan dan saya perlu suntikan modal untuk perniagaan saya yang banyak digunakan untuk melabur di dalam Nazz Music, saya serah RM300,000 kepadanya secara berperingkat,” katanya.

Nazri berkata, bagi meyakinkannya, Mr S serahkan salinan kontrak yang ditandatangani antara Mr S dengan Jamal Hassan dari MD Entertainment.

Bagaimanapun, katanya, selepas 45 hari, wang dijanjikan tiada dan Mr S pula menghilangkan diri.

“Saya menghubungi Jamal Hassan dari MD Entertainment dan syarikat percetakan terbabit, tetapi mereka menafikan sebarang urus niaga dengan Nazz Music, malah tidak mengenali Mr S.

“Kerana penipuan itu saya berjaya gugurkan dia sebagai ahli lembaga pengarah dan memindahkan saham dia yang dia tak keluarkan satu sen pun kepada rakan. Namun, dia pandai putar belit fakta dan melagakan saya dengan rakan kongsi baru sehingga meletakkan keadaan saya yang menipu dan saya yang buat apa yang dia buat selama ini,” katanya yang percaya Mr S mengamalkan ilmu hitam.

Menurut Nazri, dia sekali lagi tertipu apabila Mr S mendakwa Ahmad Dhani dari kumpulan Dewa, Indonesia bersetuju memberi lagu untuk Nice.

Katanya, Mr S mendakwa mempunyai hubungan baik dengan Ahmad Dhani.

“Saya keluarkan wang sehingga RM15,000 kepada Mr S, tetapi Mr S beritahu kononnya Ahmad Dhani minta RM30,000, walhal RM15,000 itu dia kebas.

“Kes itu sama juga seperti perancangannya untuk NICE berduet dengan penyanyi, Nash. Saya bayar RM7,000 kepadanya apabila dia beritahu Nash bersetuju, tetapi saat-saat akhir dia beritahu Nash minta RM17,000 pula, walhal dia yang minta jumlah itu,” katanya.

Menurut Nazri, Mr S turut bertindak seperti samseng apabila menceroboh pejabatnya bersama 10 ‘orang upahan’.

“Ketika itu saya di luar negara kerana urusan perniagaan dan hanya seorang kakitangan ada di pejabat. Mr S mengambil alih pengurusan syarikat seketika dan mengambil dokumen penting syarikat untuk menghapuskan bukti.

“Bagaimanapun apabila saya pulang, dengan bantuan polis saya berjaya ambil alih semula syarikat,” katanya yang membuat sekurang-kurangnya tiga laporan polis untuk penipuan dan tindakan ala samseng dilakukan Mr S.

USAHAWAN, AZMAN, 28

AZMAN adalah mangsa terbaru Mr S. Menurut Azman, dia mengenali Mr S selepas pemuda itu menemui ibu bapanya untuk menyewa rumah.

“Ibu bapa saya mengiklankan sebuah rumah kami untuk disewakan. Mr S menemui ibu bapa saya untuk menyewa rumah itu.

“Ketika bersembang, Mr S mempelawa saya membuka sebuah syarikat menguruskan acara dan dia bercerita mengenai kisah kehebatannya menguruskan beberapa projek dan artis,” katanya.

Azman berkata, tertarik dengan janji manis Mr S dia bersetuju menjadi rakan kongsi Mr S dengan menubuhkan sebuah syarikat.

“Kerana terlalu mempercayainya, saya serahkan RM20,000 kepadanya untuk membuka syarikat.

“Selepas membuka syarikat, Mr S beritahu dia mendapat kontrak menguruskan acara untuk sebuah syarikat di utara tanah air, hujung tahun lalu, membuatkan saya bertambah yakin terhadapnya,” katanya.

Menurut Azman, untuk acara itu, Mr S memberitahu dia mendapat tajaan dan syarikat hanya perlu mengeluarkan wang dalam jumlah sedikit.

“Acara berjalan lancar, tetapi selepas itu banyak pihak menuntut hutang daripada saya. Pengangkutan tidak dibayar, penginapan tidak dibayar, sistem audio tidak dibayar dan artis yang membuat persembahan juga tidak dibayar.

“Jumlah hutang berkenaan semuanya RM57,000. Saya cuba mencari Mr S, tetapi dia menghilangkan diri,” katanya yang yakin Mr S menggunakan ilmu hitam.

PENSYARAH, MAHU DIKENALI SEBAGAI DR ZAMRI, 57

PEMBABITAN Dr Zamri bermula ketika Mr S menubuhkan Devotees. Menurut Dr Zamri, beliau dipelawa menjadi rakan kongsi Mr S untuk menaikkan nama kumpulan nasyid itu.

“Mr S berjanji perkongsian modal sebanyak 50-50. Saya memberinya RM30,000, tetapi dia tidak mengeluarkan satu sen pun.

“Malah, dia menyuruh saya memasukkan wang itu ke dalam akaunnya dan bukan akaun syarikat. Saya menyuruhnya membuka akaun syarikat, tetapi dia berdolak dalik dengan pelbagai alasan,” katanya.

Dr Zamri berkata, dia terlalu percayakan Mr S sehingga berhabis RM160,000 untuk penerbitan album Devotees.

“Jika diikutkan, jumlah itu terlalu besar. Bukan saja wang tunai, tetapi kad kredit saya turut digunakan Mr S.

“Kesudahannya saya kehabisan wang simpanan dan menanggung hutang. Selepas saya mengetahui tembelangnya, Mr S menghilangkan diri,” katanya yang membuat laporan polis.

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

Selasa, 24 Februari 2009

Penari samba pakai pakaian 3 sm saja

. Selasa, 24 Februari 2009
1 ulasan


KUMPULAN penari melakukan tarian samba di atas sebuah kenderaan berhias di Rio de Janeiro, Brazil semalam.


RIO DE JANEIRO - Seorang penari samba, Dani Sperle mencipta rekod baru setelah dia hanya memakai secebis pakaian sepanjang tiga sentimeter (sm), lapor sebuah akhbar semalam.

Akhbar O Globo melaporkan Sperle merupakan satu-satunya penari yang memakai pakaian paling kecil dalam perarakan samba yang diadakan pada setiap tahun.

Dia memakai pakaian itu di hadapan 80,000 penonton pada awal pagi kelmarin.

Perarakan samba itu berakhir semalam selepas diadakan selama dua hari.

Sperle memecahkan rekod pakaian paling kecil yang sebelum ini dipegang oleh Viviane Castro apabila dia memakai secebis pakaian sepanjang empat sentimeter pada tahun lalu.

Hakim-hakim kemudian memberikan penalti kepada Castro kerana melanggar peraturan pemakaian yang dibenarkan.

Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan berhubung pemotongan markah sekolah samba yang disertai oleh Sperle dalam perarakan itu

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

'Lupakan nasi lemak dan roti canai'

.
0 ulasan




HANYA pemain bola sepak itu sendiri yang dapat mengubah cara pemakanan mereka bagi membentuk tubuh badan bertenaga dan fizikal yang cergas.

Itu yang dinyatakan Perunding Pusat Pemakanan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Zsuzsanna Fajcsak yang mahu minda pemain bola sepak di negara ini tentang kaedah pemakanan yang betul diubah sepenuhnya.

"Tanggapan minda seorang juara adalah dia memikirkan tentang pemakanan. Anda sendiri yang kena tentukan apa makanan yang perlu dimakan.

"Jika dulu anda boleh makan apa saja ikut persekitaran tapi sekarang anda atlet, pemain bola, jadi kena tentukan sendiri. Makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan," katanya.

Zsuzsanna yang berasal dari Hungary berkata demikian ketika mengadakan sesi pendidikan tentang pemakanan sukan kepada pemain-pemain bola sepak bawah 15 tahun (B-15), B-16 dan B-17 kebangsaan di ISN, Bukit Jalil petang semalam.

Menurut Zsuzsanna, makanan-makanan bergula dan berlemak memang sedap tetapi keenakannya hanya bersifat sementara kerana ia bukan merupakan sumber tenaga yang baik buat seseorang atlet.

"Lupakan nasi lemak, roti canai, goreng pisang, kari, keropok dan minuman berkarbonat. Belajar untuk mengawal pemakanan anda.

"Apa yang diperlukan atlet adalah karbohidrat untuk sumber tenaga utama, protein untuk membina otot dan fungsi badan serta lemak untuk penyimpanan tenaga," ujarnya.

Menurut Zsuzsanna, tenaga yang diperlukan bagi seseorang individu itu dikira dalam unit kilokalori (kcal) dan ia berbeza mengikut aktiviti yang dilakukan.

"Orang dewasa yang tidak aktif perlukan 2,000 hingga 3,000 kcal sehari, orang dewasa aktif bersukan antara 2,500 hingga 3,500 kcal manakala seseorang atlet antara 2,000 hingga 6,000 kcal bergantung kepada jenis sukan.

"Makanan mengandungi karbohidrat adalah sayur, buah, nasi, roti, pasta dan bijirin, protein pula terdiri daripada daging, ayam, ikan, makanan laut, telur dan susu manakala lemak merangkumi keju, mentega, krim, minyak masak, kacang dan mayonis," katanya.

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

Filem bogel yg terakhir

.
0 ulasan




DIA kelihatan terketar-ketar menahan kejutan tatkala menyampaikan ucapan setelah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Oscar semalam.

Pentas Kodak Theatre, di Hollywood, Los Angeles menyaksikan bagaimana Rose Dawlson, (begitu dia terus diingati di seluruh dunia ekoran peranan dalam Titanic) menyampaikan rasa terkejut, gembira dan kepuasannya setelah hasil lakonan diiktiraf sebagai paling baik antara yang terbaik.

Apa tidaknya, setelah lima kali dicalonkan dalam anugerah terbesar itu, akhirnya Kate Elizabeth Winslet atau nama komersialnya, Kate Winslet berjaya mendapat anugerah yang diidam-idamkan menerusi filem The Reader.

"Bohong kalau saya kata tidak pernah membayangkan memberi ucapan di Oscar. Tak silap saya, ketika berumur lapan tahun, saya mula berangan di depan cermin bilik air sambil memegang botol syampu sebagai trofi.

"Tapi, apa yang sedang saya pegang ini bukan lagi botol syampu," katanya dengan nada penuh emosi di pentas kemenangannya itu.


THE READER akan menjadi filem terakhir yang mampu membuatkan dia tampil berbogel di layar perak.





Menurut si pemilik mata memikat ini, dia tidak pernah menjangkakan akan menang besar kali ini.

"Sebelum ini pun saya tidak pernah mendapat anugerah daripada Oscar. Saya rasa macam pelik sangat, bagaikan mimpi," ujarnya lagi sambil memegang trofi yang sekian lama diidamkan.

Wajahnya sedikit beremosi, namun ucapan terima kasih tidak putus-putus diberikan kepada orang yang menjayakan filem itu serta suaminya yang juga merupakan pengarah filem tersohor, Sam Mendes.

Sempat lagi Winslet mencari ayahnya untuk meluahkan kasih sayang dan tanda penghargaannya kepada kedua orang tua yang sedang duduk di kerusi bahagian belakang Kodak Theatre.

"Ayah, terima kasih atas segalanya. Bunyikan wisel itu kepada saya, baru saya tahu di mana ayah berada!" katanya sambil disahut oleh bunyi wisel ayahnya, Roger Winslet. Pastinya ini satu momen yang akan dikenang dalam sejarah Oscar selepas ini.

Winslet, 33 tahun berjaya mengalahkan calon pelakon-pelakon hebat seperti Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Melissa Leo (Frozen River).

Winslet juga berjaya mengalahkan Thelma Ritter dan Deborah Kerr yang tidak pernah mendapat sebarang anugerah sepanjang enam kali dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Biarpun pertama kali memenangi Oscar, Winslet boleh dikatakan bertuah kerana momentum sebagai seorang aktres agak 'deras' dalam tahun 2009.

Sehingga Februari ini, dia sudah pun melakar sejarah sendiri dengan menggondol lapan anugerah dalam majlis anugerah berbeza.

Antaranya, Anugerah Persembahan Terbaik Pelakon Pembantu Wanita menerusi filem The Readers pada Screen Actors Guild Awards, Pelakon Pembantu Terbaik (The Reader) pada Broadcast Film Critics Association Awards dan pada anugerah Golden Globes, Winslet mendapat anugerah bagi Persembahan Pelakon
BERKONGSI gembira dengan orang tersayang sebaik nama diumumkan sebagai pemenang.


Wanita Terbaik (Revolutionary Road) dan Persembahan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (The Reader).

Jika diperhatikan kembali, kejayaan yang diterima Winslet untuk tahun ini kebanyakannya menerusi filem The Reader.

Tuah pelakon ini agaknya kerana filem ini juga boleh dikatakan antara yang terbaik.

Ditambah pula dengan keberkesanannya menjiwai watak sebagai Hanna Schmitz, yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang remaja, filem itu berjaya menarik perhatian juri bagi kebanyakan anugerah-anugerah berprestij tinggi.

"Apabila memenangi pelbagai anugerah dalam masa dua bulan ini, saya teringat kembali bagaimana pertama kali saya mendapat skrip bagi filem Heavenly Creatures pada tahun 1994.

"Waktu itu, saya berusia 17 tahun dan membuat kerja sambilan di sebuah kedai membuat sandwich kerana tidak mempunyai wang. Sehinggalah bila saya dihubungi seseorang yang mengatakan saya mendapat watak filem itu, saya terus berhenti kerja.

"Saya begitu gembira sehingga tidak tidur malam semata-mata mahu menghafal skrip yang diberi. Saya beritahu kepada ayah akan melakukan yang terbaik untuk filem itu dan ayah menyokong saya," ujar wanita asal Reading, Berkshire, England.

Satu pencapaian yang hebat bagi Winslet kerana berjaya memasuki pencalonan Anugerah Oscar di usia muda setelah Ang Lee memilihnya untuk memegang watak Emma Thompson bagi filem Sense and Sensibility pada tahun 1995.

Kemudian, pada tahun 1997, persembahan lakonannya bertambah menyerlah apabila melakonkan filem berprofil tinggi, Titanic biarpun sedikit kontroversi timbul berkenaan dengan babak bogel yang dilakonkannya.

Tak mahu bogel lagi

Cukup dengan lebih daripada 10 filem adegan bogel yang dilakonkannya, termasuklah filem Titanic, Hamlet, Iris, Little Children dan Holy Smoke, sudah tiba masanya Winslet tidak lagi menerima watak yang memerlukannya berbogel.

"Cukuplah dengan adegan sebegitu. Filem The Reader adalah yang terakhir untuk menayangkan tubuh saya.

"Mungkin kerana usia yang semakin meningkat, saya tak mahu diri saya dilabel sebagai pelakon yang sering membogelkan diri sendiri," tegasnya.

Kenyataan Winslet itu sedikit mengejutkan penggiat filem Hollywood kerana jika umur yang menjadi sebab utama dia enggan melakonkan watak bogel, bagaimana pula dengan pemenang Oscar, Helen Mirren yang masih lagi melakonkan watak bogel dalam filem Calendar Girls ketika usia 58 tahun?


BERKONGSI gembira dengan rakan seperjuangan yang lain, Sean Penn (Pelakon Lelaki Terbaik) dan Penelope Cruz (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).


Selepas kenyataan itu, sebahagian penggiat filem menganggap pelakon jelita itu telah membuat keputusan yang salah. Malah ada yang menganggap mungkin Winslet tidak serius dengan kata-katanya itu.

Mereka merasakan, Winslet perlu berterima kasih kerana keberkesanan babak bogelnya dalam filem The Reader banyak membantu penampilannya sekali gus memenangi Oscar.

Biarpun menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak berkenaan dengan keputusannya itu, Kate memberitahu sudah cukup untuk tubuhnya ditayangkan kepada umum.

"Selepas filem Titanic, saya sekali lagi melakonkan beberapa babak bogel dalam filem Holy Smoke dan begitulah dengan filem-filem seterusnya.

"Memang seronok melakonkan babak begitu kerana ia perlu menggunakan kekuatan mental dan agak mencabar untuk melakonkannya.

"Bayangkan, bila saya berbogel seorang diri, dan semua krew melihat ke arah saya. Tapi, saya tidak pernah kesal dengan lakonan-lakonan itu," katanya.

Bayaran lebih tinggi?

Sejak mula berlakon, dirinya semakin mewah dengan tawaran-tawaran filem yang juga menawarkan bayaran yang lumayan.

Apalagi bila dirinya perlu melakonkan babak bogel ataupun adegan asmara, nilai Winslet tambah menjulang.

Sehinggakan Winslet pernah mengalahkan bayaran yang ditawarkan kepada Nicole Kidman yang mendapat £6 juta (RM30 juta) bagi filem Finding Neverland.


TROFI 'botol syampu' yang sering menjadi mainan ketika zaman kecil hari ini sudah berganti dengan trofi Oscar yang asli.


Kenyataan ini mencetuskan beberapa persoalan berkenaan dengan bayaran yang bakal diterima aktres berkenaan selepas ini.

Ada pendapat mengatakan selepas kenyataan tidak mahu melakonkan babak bogel, nilai lakonan Winslet akan menjunam menurun? Hanya masa yang akan menentukannya.

Sebelum ini, antara bayaran filem yang diterima Winslet ialah filem Titanic iaitu sebanyak RM10 juta, Holy Smoke (RM1.8 juta), Quills (RM2.25 juta) dan Enigma (RM1.5 juta).

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

Isnin, 23 Februari 2009

Adam puas membuli??

. Isnin, 23 Februari 2009
0 ulasan


Biarpun Adam tidak terbabit dengan sebarang filem tahun lalu, dia sebenarnya masih berminat beraksi di layar perak. Perkembangan terbaru, dia dilamar produksi Harian Inovatif Sdn Bhd bekerjasama dengan Sunday To Sunday Service Sdn Bhd untuk membintangi filem baru, Dimensi Cinta. Filem ini yang akan menjalani penggambaran sejak semalam turut membariskan pelakon popular lain seperti Catriona Ross, Fahrin Ahmad, Eman Manan, Awie, Scha dan Suhaiza Suhaimi (Memey).

Menerusi filem arahan Mohd Aliff Najmi Abdullah atau Eddie Pak itu, Adam memainkan karakter ketua kumpulan tarian hip hop yang berhadapan dengan saingan kumpulan shuffle. Kata Adam, dia bukan hanya berlakon, sebaliknya bertanggungjawab dalam memimpin koreografi dua tarian itu. Berbeza dengan lakonan sebelum ini, kali ini dia berpeluang membawakan watak antagonis dan bercinta dengan rakan seangkatan menerusi AF2, Zarina yang turut berlakon.

"Saya takut menjadi hero tetapi watak antagonis adalah antara watak yang saya idamkan. Namun, sifat jahat saya dalam filem ini hanya merujuk pada sikap suka membuli mereka yang terbabit dengan tarian shuffle.

"Selain fokus pada hip hop, saya juga memantau tarian shuffle. Saya terima tawaran berlakon filem ini kerana ia menampilkan aspek tarian pada watak yang saya bawa," katanya.

Di samping aktiviti lakonan terbaru, Adam juga menyatakan dia kini mula menceburi diri sebagai pengarah telefilem Wira Malam yang diterbitkan di bawah syarikat sendiri, Curio Communication Sdn Bhd. Telefilem ini mengisahkan seorang superhero yang mahir menggunakan senjata mempertahankan diri iaitu muchacho, akan menjalani penggambaran pada April depan.

"Watak ini adalah serius dan mempunyai kostum khas. Buat masa ini, saya masih mencari pelakon wanita yang sesuai untuk telefilem ini dan saya berharap adegan lawan yang ditunjukkan belum pernah ditonton dalam telefilem tempatan sebelum ini.

"Saya sendiri akan memainkan watak utama dan untuk itu, saya kini berlatih sendiri bagaimana menggunakan muchacho dengan mahir. Walaupun saya belum cukup ilmu mengarah tetapi saya ingin belajar dan menimba pengalaman baru.

"Sebelum ini, saya pernah mengarah klip video kumpulan Bad Boys yang menjadi artis pertama yang bernaung di bawah syarikat saya sendiri iaitu Aico Entertainment. Memandangkan kegawatan ekonomi melanda kembali, saya fikir penerbitan telefilem ini sebagai menambah pendapat sampingan saya," katanya.

Mengenai KRU yang menerbitkan album ketiganya, Robot sejak setahun lalu, dia masih gembira untuk terus bernaung di bawah pengurusan tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry. Dalam kesibukan berlakon, Adam turut menyatakan dia akan mengadakan persembahan mini konsert di beberapa lokasi seluruh negara.

Selepas Labuan pada 3 Januari lalu, persembahan seterusnya berlangsung di Keningau tidak lama lagi. Menerusi persembahan jelajah ini, Adam juga membawa Bad Boys untuk mengadakan persembahan bersama. Walaupun tiada penaja, dia tetap mahu mengadakan persembahan ini sebagai platform merapatkan hubungan dengan peminatnya.

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

Isteri naik hantu 'GILA'

.
0 ulasan


Hanya air mata dapat menceritakan keperitan seorang lelaki apabila sering dibelasah isterinya yang disifatkan sebagai ahli gusti gila semata-mata kerana tidak suka mendengar nasihat sejak tiga tahun lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai John itu mendakwa, isterinya berang apabila dinasihat menghentikan tabiat buruk gemar berkaraoke dan berhutang dengan along hingga mengabaikan anak yang sakit.

Penyelia stor itu berkata, isterinya berusia 30 tahun itu mempunyai kekuatan luar biasa apabila ‘naik hantu’ hingga mampu mencekik sebelum menghempas kepalanya ke dinding rumah.

Malah, lebih menakutkannya apabila wanita terbabit mengugut mahu membunuhnya dengan pisau dan serpihan kaca botol. Ini menyebabkan John kerap melarikan diri apabila isterinya mengamuk.

John berkata, tingkah laku ganas isterinya sukar dibendung, malah ada kalanya diibaratkan sama seperti haiwan ganas.

Dalam kejadian terbaru jam 7.30 malam baru-baru ini, dia menghubungi isterinya di pejabat dan meminta segera pulang ke rumah berikutan anak lelaki berusia hampir dua tahun diserang lelah.

“Saya merayu supaya anak dibawa ke klinik di Wangsa Maju untuk mendapatkan rawatan. Namun, dia memberi alasan sudah mempunyai rancangan untuk berkaraoke bersama rakan selepas waktu pejabat.

“Lantaran itu, adik kandung saya membantu menghantar anak ke klinik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut John, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada isterinya yang pulang tengah malam, tetapi dihadiahkan dua penumbuk di muka.

Ketika itu, mangsa sedang mendukung anaknya yang menangis sakit. Isterinya pula langsung tidak menunjukkan simpati sebelum menendang suaminya hingga hampir terjatuh.

Sambil menunjukkan kesan tumbukan isterinya pada tiga pintu bilik rumah, John berkata, dia tidak dapat mempertahankan diri berikutan ketika itu menutup kepala dan badan anaknya kerana bimbang turut dicederakan.

Selepas puas membelasah suaminya, wanita itu keluar sebelum pulang keesokan hari dengan mengurung diri dalam bilik.

“Sebaik bangun daripada tidur, dia kembali mengganas mencekik leher saya sebelum menghentak kepala saya ke dinding.

“Serangan mendadak itu menyebabkan saya terkejut selain anak saya menangis akibat ketakutan. Dia meluru ke dapur sebelum mengambil pisau dan mengacukannya ke arah saya,” katanya.

Mangsa bagaimanapun merampas pisau berkenaan selepas bergelut dengan isterinya.

“Isteri saya kemudian mencapai botol kaca minuman sebelum menghentak ke arah rak dapur untuk memecahkannya. Disebabkan ketakutan, saya mencapai anak sebelum melarikan diri,” katanya sambil mendakwa isterinya menelan beberapa biji pil sakit kepala untuk menyambung tidur.

Dalam kejadian lain, dia sekadar bertanya kepada isterinya menghilang sehari suntuk dengan mengabaikan suami dan anak.

“Entah mengapa dia tiba-tiba mengamuk dan menjadi agresif sebelum menghempaskan semua perkakas rumah, termasuk pinggan mangkuk di dapur,” katanya.

Lelaki malang itu berkata, isterinya cuba menyerang anaknya menyebabkan dia terpaksa melarikan diri sebelum menghubungi talian Rakan Cop untuk mendapat bantuan polis.

“Sebaik polis sampai ke perkarangan rumah, isteri semakin naik angin dan tidak membenarkan kami masuk ke dalam rumah walaupun dirayu supaya mengawal perasaan.

“Selepas membuka pintu, dia bersembunyi dalam stor. Selepas dinasihati polis, dia akhirnya berjanji tidak mengulangi perbuatannya itu,” katanya.

John turut mendakwa isterinya menggunakan wang simpanan anak sebanyak RM3,500 untuk berjoli dan memenuhi tabiat buruknya berjudi.

“Apabila ditanya, dia memberitahu semua wang terbabit sudah habis dibelanjakan, termasuk membayar hutang along,” katanya.

Dia yang sudah membuat tiga aduan di Balai Polis Setapak, berkata dia sendiri pernah terjumpa kad kuning dalam dompet isterinya mengandungi nombor telefon seorang lelaki serta beberapa tulisan pinjaman along dengan anggaran melebihi puluhan ribu ringgit.

Dia berkata, isterinya yang sudah meletakkan jawatan kini bersekedudukan dengan beberapa warga asing dari Timur Tengah.

“Saya dapat berjumpanya di rumah sewa barunya dengan membawa anak. Malangnya, kami dihalau,” katanya.

Menurutnya, dia kini dibelenggu masalah baru apabila beberapa lelaki dipercayai along datang ke rumahnya untuk menuntut hutang isterinya.

Klik disini untuk bacaan penuh.. »»
Plzz..Berikan Komen setiap kali anda membaca. Komen anda amat di perlukan untuk berkongsi idea jadi sila lah beri komen.

 
Namablogkamu is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com